Pendidikan dan pembinaan negara adalah
berkait rapat antara satu sama lain. Tanpa pendidikan, proses pembinaan negara
tidak akan tercapai. Sesebuah negara perlukan warganegara yang terdidik dalam
semua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual seperti yang termaktub dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Tugas guru dewasa kini
bukanlah seperti tugas seorang guru di zaman P. Ramlee dahulu kala. Sistem
pendidikan di Malaysia kini sentiasa menyaksikan perubahan yang pesat dalam
sistem pendidikan. Di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia telah dilancarkan. Pelbagai reaksi dan persepsi
yang timbul khususnya daripada golongan pendidik sendiri.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) telah
menggariskan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh 22 tahun akan datang. Ia
satu tempoh yang penting dan amat getir kerana dalam tempoh tersebut kita akan
melalui tahun 2020 yang menaik taraf Malaysia untuk berstatus negara maju.
Antara perubahan besar yang akan dilaksanakan ialah memperkenalkan kurikulum
baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 2016 dan
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pula pada tahun 2017.
Sehubungan dengan itu,
peranan guru dalam melaksana pengajaran yang berkesan pastinya menjadi faktor
penting untuk meningkatkan tahap pembelajaran murid ke arah perkembangan
jasmani, emosi, rohani dan intelek. Justeru, guru perlu melakukan penilaian
yang berterusan untuk mengesan kekuatan dan kelemahan pembelajaran murid serta
mengambil tindakan segera mengatasi kelemahan yang dapat dikenal pasti bagi
mengelakkan kelemahan terkumpul. Kekuatan pembelajaran murid dipertingkatkan
dan diperkukuhkan. Guru perlu berusaha gigih menerap nilai murni, disiplin
kendiri dan semangat patriotisme di kalangan murid untuk dihayati dan akan
menjadi amalan dalam kehidupan seharian di kalangan murid sama ada di sekolah
atau di luar sekolah.
Guru juga mesti memahami
dan mengajar berpandukan carta aliran kerja pengajaran dan pembelajaran ( pdp )
serta menggunakan kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat
memenuhi keperluan pelbagai aras tahap pencapaian murid. Pengajaran yang
dilaksanakan semestinya menghasilkan pencapaian objektif pengajaran dan murid
mendapat meningkatkan kemahiran pembelajaran serta perubahan tingkah laku yang
positif. Dalam kata lain berlaku proses guru mengajar dan murid belajar. Murid
mendapat hasil dari proses pengajaran dan pembelajaran serta berlaku perubahan
tingkah laku positif yang dapat menunjukkan murid mendapat manfaat dari
objektif pengajaran guru di bilik darjah itu.
Kesimpulannya, tugas
utama seorang pengajar atau guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para
pelajar. Untuk memenuhi tugas ini, pendidik atau guru bukan sahaja harus dapat
menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga
menciptakan pengajaran yang berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan
suasana pembelajaran yang dapat merangsangkan minat pelajar di samping sentiasa
memikirkan kebajikan dan keperluan pelajar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan